I made this widget at MyFlashFetish.com.

Sunday, December 26, 2010

10 PETANDA DIA JODOH KITA...


Firman Allah SWT, bermaksud "Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu" (Surah Muhammad, ayat 7)
Gunakan seluruh pancaindera
Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Allah yang maha Esa. Tetapi bagaimana kita mengetahui dia memang ditakdirkan untuk kita? Allah SWT mengurniakan manusia telinga untuk mendengar, mata untuk melihat dan aka untuk berfikir. Jadi gunakan sebaik-baiknya bagi mengungkapkan rahsia cinta yang ditakdirkan. Dua manusia yang rasa mereka dapat hidup bersama dan memang dijodohkan pasti memiliki ikatan emosi , spiritual dan fizikal antara keduanya. Apabila bersama, masing-masing dapat merasai kemanisan cinta dan saling memerlukan antara satu sama lain. Lalu gerak hati mengatakan, dialah insan yang ditakdirkan untuk bersama. Benarkah ia seperti yang diperkatakan?
Berikut adalah 10 petanda yang menunjukkan dia adalah jodoh kita.
1.Bersahaja
Kekasih kita itu bersikap bersahaja dan tidak berlakon. Cuba perhatikan cara dia berpakaian, cara percakapan, cara ketawa serta cara makan dan minum. Adakah ia spontan dan tidak dikawal ataupun kelihatan pelik. Kalau ia nampak kurang selesa dengan gayanya, sah dia sedang berlakon. Kadang-kadang, kita dapat mengesan yang dia sedang berlakon. Tetapi, apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka dia adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan jodoh kita.
2.Senang bersama
Walaupun kita selalu bersamanya, tidak ada sedikit pun perasaan bosan, jemu ataupun tertekan pada diri kita. Semakin hari semakin sayang kepadanya. Kita sentiasa tenang, gembira dan dia menjadi pengubat kedukaan kita. Dia juga merasainya. Rasa senang sekali apabila bersama. Apabila berjauhan, terasa sedikit tekanan dan rasa ingin berjumpa dengannya. Tidak kira siang ataupun malam, ketiadaannya terasa sedikit kehilangan.
3.Terima kita seadanya
Apapun kisah silam yang pernah kita lakukan, dia tidak ambil peduli. Mungkin dia tahu perpisahan dengan bekas kekasihnya sebelum ini kita yang mulakan. Dia juga tidak mengambil kisah siapa kita sebelum ini. Yang penting, siapa kita sekarang. Biarpun dia tahu yang kita pernah mempunyai kekasih sebelumnya, dia tidak ambil hati langsung. Yang dia tahu, kita adalah miliknya kini. Dia juga sedia berkongsi kisah silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah bersedia menjadi pasangan hidup kita.
4.Sentiasa jujur
Dia tidak kisah apa yang kita lakukan asalkan tidak menyalahi hukum hakam agama. Sikap jujur yang dipamerkan menarik hati kita. Kejujuran bukan perkara yang boleh dilakonkan. Kita dapat mengesyaki sesuatu apabila dia menipu kita. Selagi kejujuran bertakhta di hatinya, kebahagiaan menjadi milik kita. Apabila berjauhan, kejujuran menjadi faktor paling penting bagi suatu hubungan. Apabila dia tidak jujur, sukar baginya mengelak daripada berlaku curang kepada kita. Apabila dia jujur, semakin hangat lagi hubungan cinta kita. Kejujuran yang disulami dengan kesetiaan membuahkan percintaan yang sejati. Jadi, dialah sebaik-baik pilihan.
5.Percaya Mempercayai
Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia ini perlu dikongsi supaya dapat mengurangkan beban yang ditanggung. Apabila kita mempunyai rahsia dan ingin memberitahu kekasih, adakah rahsia kita selamat di tangannya? Bagi mereka yang berjodoh, sifat saling percaya mempercayai antara satu sama lain timbul dari dalam hati nurani mereka. Mereka rasa selamat apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada kekasihnya berbanding rakan-rakan yang lain. Satu lagi, kita tidak berahsia apa pun kepadanya dan kita pasti rahsia kita selamat. Bukti cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran. Bahagialah individu yang memperoleh kedua-duanya.
6.Senang Bekerjasama
Bagi kita yang inginkan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam jangka masa yang panjang, kita dan dia perlu saling bekerjasama melalui hidup ini. Kita dan kekasih perlu memberi kerjasama melakukan suatu perkara sama ada perkara remeh ataupun sukar. Segala kerja yang dilakukan perlulah ikhlas bagi membantu pasangan dan meringankan tugas masing-masing. Perkara paling penting, kita dan dia dapat melalui semua ini dengan melakukannya bersama-sama. Kita dan dia juga dapat melakukan semuanya tanpa memerlukan orang lain dan kita senang melakukannya bersama. Ini penting kerana ia mempengaruhi kehidupan kita pada masa hadapan. Jika tiada kerjasama, sukar bagi kita hidup bersamanya. Ini kerana, kita yang memikul beban tanggungjawab seratus peratus. Bukankah ini menyusahkan?
7.Memahami diri kita
Bagi pasangan yang berjodoh, dia mestilah memahami diri pasangannya. Semasa kita sakit dia bawa ke klinik. Semasa kita berduka, dia menjadi penghibur. Apabila kita mengalami kesusahan, dia menjadi pembantu. Di kala kita sedang berleter, dia menjadi pendengar. Dia selalu bersama kita dalam sebarang situasi. Tidak kira kita sedang gembira ataupun berduka, dia sentiasa ada untuk kita. Dia juga bersedia mengalami pasang surut dalam percintaan. Kata orang, "lidah sendiri lagikan tergigit", inikan pula suami isteri'. Pepatah ini juga sesuai bagi pasangan kekasih. Apabila dia sentiasa bersama kita melalui hidup ini di kala suka dan duka, di saat senang dan susah, dialah calon yang sesuai menjadi pasangan hidup kita.
8.Tampilkan kelemahan
Tiada siapa yang sempurna di dunia ini. Tipulah jika ada orang yang mengaku dia insan yang sempurna daripada segala sudut. Pasti di kalangan kita memiliki kelemahan dan keburukan tertentu. Bagi dia yang bersedia menjadi teman hidup kita, dia tidak terlalu menyimpan rahsia kelemahannya dan bersedia memberitahu kita. Sudah tentu bukan senang untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan kekasihnya. Malah, dia tidak segan mempamerkan keburukannya kepada kita. Misalnya, apabila dia bangun tidur ataupun sakit dan tidak mandi dua hari, dia tidak menghalang kita daripada melawatnya.Apabila kita dan dia saling menerima kelemahan dan sifat buruk masing-masing, memang ditakdirkan kita hidup bersamanya.
9.Kata hati
Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia dikurniakan Allah deria keenam yang dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya. Dengan deria batin ini juga kita dapat saling tahu perasaan masing-masing. Kita dan dia juga dapat membaca fikiran antara satu sama lain dan dapat menduga reaksi dan tindakbalas pada situasi tertentu. Apabila kita yakin dengan pilihan hidup kita, tanyalah sekali lagi. Adakah dia ditakdirkan untuk kita? Dengarlah kata hati dan buatlah pilihan. Serahlah segalanya pada ketentuan yang maha berkuasa.

10.Solat Istikharah dan Tawakkal
Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Allah SWT. Manusia hanya perancang di pentas dunia ini dan skripnya ditulis oleh yang maha esa. Adakalanya, dalam memainkan peranan sebagai pelakon, diberi petunjuk melalui mimpi atau gerak hati. Mimpi memang mainan tidur, tetapi apabila kita melakukan sembahyang Istikharah dan memohon supaya Allah memberikan petunjuk, insya-Allah dengan izinnya kita mendapat petunjukNya. Jika dia pilihan kita, buatlah keputusan sebaiknya. Jika tidak, tolaklah dia dengan baik. Semua yang kita lakukan ini adalah bagi mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia. Setelah semuanya diusahakan, berserahlah kepadaNya dan terus berdoa. Ingatlah, nikmat di dunia ini hanya sementara.Nikmat di akhirat adalah kekal selamanya.
+ Ditulis oleh Hj Abdul Samad Profile:

Tuesday, December 21, 2010

Nikah Gantung (Khitbah) Satu Alternatif




Sedang pelbagai pihak seperti buntu mencari penyelesaian kepada barah sosial yang menjurus kepada pergaulan dan seks bebas (zina) serta rogol dan buang bayi berleluasa pada hari ini, saya menyarankan satu program atau projek besar iaitu "Taysir az Ziwaj" dilaksanakan, khasnya oleh pihak berwajib.
Taysir Az Ziwaj ialah "Permudahkan Proses Perkahwinan" terutama kepada anak-anak muda yang tidak berkemampuan dari segi material untuk mendirikan rumahtangga tetapi dalam masa yang sama mempunyai keinginan yang tinggi untuk hidup berpasangan.
Islam adalah agama yang penuh dengan rahmah dan berkah. Ia diutuskan oleh Allah swt Tuhan yang mencipta manusia bukan untuk menghalang atau menidakkan keperluan manusia seperti keinginan (nafsu) syahwah dan sebagainya tetapi Islam datang untuk membetulkan dan memandu manusia agar melunas keinginannya secara yang betul, benar dan baik.
Gejala seks bebas (zina) dan rogol adalah angkara nafsu yang tidak terkawal dan ia disalurkan secara tidak betul, tidak benar dan membawa keburukan kepada diri dan orang lain. Sedang Islam menggalakkan perkahwinan (aqad nikah) agar hati manusia tenteram dan tenang serta nafsu dapat dikawal. Ini membawa kebaikan kepada semua ummat manusia.
Firman Allah swt yang bermaksud :
"Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah swt Maha Luas rahmat dan kurnia-Nya lagi Maha Mengetahui." (Surah An-Nuur : Ayat 32)
Perkahwinan yang digalakkan oleh Islam ini sewajarnya dipermudahkan prosesnya agar generasi muda negara tidak liar dan kemaruk nafsu lalu terjebak dalam kancah seks bebas (zina). Memudahkan prosesnya boleh dilakukan oleh pihak berwajib (kerajaan) seperti (sekadar menyebut beberapa contoh) :
  • Memberi peruntukan kepada pasangan muda yang ingin berkahwin
  • Memberi insentif sebagai galakan berkahwin
  • Mengurangkan karenah birokrasi yang menyulitkan
  • Kursus dan khidmat bimbingan perkahwinan secara percuma
  • Menganjurkan perkahwinan beramai-ramai yang menjimatkan
  • Mendidik masyarakat dengan budaya sederhana dalam majlis perkahwinan
  • Merendahkan hantaran perkahwinan
Antara kaedah mempermudahkan proses perkahwinan ini ialah Nikah Khitbah atau dalam bahasa mudah disebut oleh masyarakat kita sebagai Nikah Gantung. Nikah Khitbah adalah sama seperti nikah biasa mengikut hukum dan perundangan Islam yang mempunyai 5 rukunnya iaitu :
  • Suami
  • Isteri
  • Wali
  • Saksi
  • Aqad (Ijab Qabul)
Cuma bezanya ialah pasangan pengantin (suami isteri) tidak tinggal serumah dalam tempoh-tempoh tertentu kerana beberapa keadaan seperti (sekadar menyebut beberapa contoh) :
  • Masih menuntut di kolej atau universiti
  • Tidak mempunyai kemampuan menyewa rumah
  • Belum bersedia menanggung komitmen kehidupan berumahtangga
Justeru itu , buat tempoh tertentu pasangan suami isteri yang telah dinikahkan itu tinggal berasingan (atas persetujuan bersama kedua-dua pihak) dan barangkali tinggal bersama keluarga masing-masing sehinggalah mereka merasakan segala halangan di atas telah selesai dan mereka benar-benar bersedia mengharungi kehidupan berumahtangga yang besar tanggungjawabnya.
Kelebihan Nikah Gantung
Kelebihan Nikah Gantung ini ialah mereka adalah pasangan suami isteri yang sah mengikut hukum agama dan undang-undang negara. Andai dalam tempoh itu mereka bertemu, keluar makan, dating, study bersama bahkan kalau mereka terlanjur sekalipun mengadakan hubungan seks, maka apa yang mereka lakukan itu tidak salah atau tidak haram.
Andai berlaku kehamilan, maka pasangan itu tidak perlu panik terutama pihak gadis yang hamil kerana ia menghamilkan anaknya yang sah nasab (keturunan). Bahkan nanti mereka tidak perlu malu dan menjauhkan diri dari keluarga kerana keluarga pula akan menyambut kedatangan bayi itu dengan bangga dan bermaruah.
 Kes buang bayi yang berleluasa hari ini rata-ratanya adalah ekoran rasa panik dan hilang pertimbangan akibat malu dan hilang maruah dari pasangan terbabit. Malah mereka juga takut untuk kembali kepangkuan keluarga justeru mereka mengetahui bahawa hubungan mereka salah dan mereka hamil hasil hubungan terlarang. Ia memalukan keluarga dan mencemarkan maruah bangsa dan agama. Akhirnya, jalan pintas dan terdesak yang ada pada mereka ialah buang bayi tersebut dengan harapan selesai masaalah dan beban yang mereka hadapi tanpa mereka menyedari bahawa akan mencetus bencana yang lebih parah kepada sosial negara.
Penerimaan Masyarakat
Sebenarnya Nikah Khitbah ini pernah dilakukan dalam masyarakat Arab. Menurut amalan tersebut, sewaktu majlis pertunangan, ia dilangsungkan sekali dengan majlis aqad nikah (halflun nikah) tetapi mempelai tidak boleh tinggal sekali (serumah) sehingga berlangsungnya pula majlis perkahwinan (haflul Qiran). Terkadang tempoh itu (antara pertunangan dan perkahwinan) menjangkau tahun lamanya.
Dalam masyarakat Melayu, amalan ini sebenarnya pernah diamalkan sebelum ini dengan namaNikah Gantung. Ia pernah dikaji oleh beberapa Anthropologist seperti Paletz, Djamour dan Jones. Mereka mengistilahkan Nikah Gantung sebagai "Suspended Marriage Contract" iaitu satu fenomena sosial yang diamalkan oleh masyarakat Islam di Asia tenggara.
Malah menurut Abdul Jalil Borhan, perkara yang berkaitan dengan Nikah Gantung terdapat dalam seksyen 112 (dalam bahagian 5) enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor.
Perbahasan Hukum
Salah satu dalil yang digunakan oleh sebahagian para alim ulama' ialah Perkahwinan Rasulullah saw dengan Aishah rha. Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah saw telah mengahwini Aishah ketika berumur 6 tahun dan hanya duduk serumah ketika Aishah berumur 9 tahun. Hadis ini menjadi dalil berlakunya aqad nikah, maka bukan menjadi kewajipan bagi mempelai untuk terus tinggal serumah terutama atas persetujuan kedua pihak untuk beberapa tempoh yang dipersetujui.
Apabila pasangan pengantin (nikah gantung) bersetuju untuk tinggal berasingan kerana beberapa perkara yang diambil kira seperti yang saya sebutkan di atas tadi, maka tidaklah berbangkit isu nafkah batin (jima'/bersetubuh). Apa yang timbul ialah perbahasan dari segi nafkah zahir (material) . Berkait perkara ini, kita mempunyai beberapa pandangan :
a] Mazhab Zahiri seperti yang dinyatakan oleh Ibn Hizam iaitu nafkah ini (nafkah zahir) wajib dengan berlakunya aqad, maka selepas sahaja aqad nikah, suami wajib memberi nafkah zahir kepada isterinya.
b] Pandangan jumhur ulama' iaitu nafkah zahir itu hanya wajib apabila isteri memenuhi syarat-syarat tertentu seperti isteri menyerahkan diri kepada suami (berpindah ke tempat suami), boleh melakukan istimta' (mengambil keseronokan) , jima'/bersetubuh , isteri tidak keluar rumah tanpa izin suami dan seumpamanya.
Nikah khitbah dapat disimpulkan bahawa ; bebanan nafkah itu tidak diwajibkan ke atas suami sekiranya kehidupan biasa suami isteri belum berlaku. Bagaimanapun sekiranya suami isteri tersebut keluar bersama, maka tiada halangan dari segi hukum syara' kerana mereka adalah suami isteri yang sah. Demikian juga andai berlaku kehamilan maka bayi itu sah dan mereka boleh menjalani kehidupan berkeluarga seperti biasa yang sah. Tidak perlulah mereka melarikan diri, buang bayi dan menggugurkan bayi atau membunuhnya .
Tegasnya saya sebutkan disini, terutama kepada pihak berkuasa agama, ibu bapa dan seluruh anggota masyarakat termasuk anak-anak muda agar mereka kembali kepada cara hidup Islam. Walaupun nikah gantung ini kelihatan seperti baru dalam negara kita bagi sesetengah pihak, tetapi ia lebih baik dari kita membiarkan anak-anak gadis dan teruna kita berpeleseran, bergaul bebas lalu akhirnya mereka terjebak dalam kancah seks bebas dan penzinaan yang memalukan. Bukan sahaja maruah keluarga dan agama tercalar, murka Allah swt itulah yang paling ditakuti.